Saturday, February 20, 2010

Sambutan Maulidurrasul

Bersamaan Sabtu, 25 Febuari 2010, 7 Rabi'ulAwal 1431H, Surau Nurul Hidayah Taman Seremban Jaya telah mengadakan satu majlis sambutan Maulidurrasul dengan jayanya dengan bertujuan memperingati Rasulullah (s.a.w). Terdapat 3 fasa dalam majlis ini iaitu program gotong-royong persiapan majlis pada malam hari yang dijalankan pada sebelah petang. Fasa kedua, majlis bacaan yaasin dan tahlil selepas Asar dan jamuan ringan. Fasa terakhir pula, iaitu masa kemuncaknya kuliyyah yang telah disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Muhammad Arni bin Muhammad Ghazali yang merupakan pengajar di Kolej Islam Darul Fuqaha' merangkap seorang pensyarah sementara. Di sini, suka penulis berkongsi isi kandungan kuliyyah yang telah disampaikan al-Fadhil Ustaz.

Apabila ditanya tentang nikmat yang terbesar yang kita peroleh. Sudah tentu ramai yang menjawab nikmat iman dan Islam. Kata seorang tokoh ulama', Inbu Rejab bin Hanbal: ada satu nikmat yang mendahului kebesaran nikmat iman dan Islam yang disebut sebesar-besar nikmat (أعظم النعمة) iaitu dikurniakan seorang rasul sebagai pembimbing daripada kegelapan. Kerana tanpa seorang rasul (Muhammad s.a.w)yang diutus untuk memperbaiki aqidah, maka sudah pasti tiadalah yang disebut nikmat iman dan Islam.

Dalam satu hadith, nabi (s.a.w) membuat perumpamaan dirinya sebagai seorang rasul utusan Allah dengan utusan-utusan sebelum baginda (s.a.w): umpama aku dengan nabi-nabi terdahulu adalah seperi sebuah bangunan yang cantik dan kemas, dan daripada bangunan itu ada satu bongkah batu yang masih belum disiapkan. Maka sabda nabi (s.a.w): "Akulah penyempurnanya dan akulah penutup sekalian nabi-nabi". Jelas, terang lagi bersuluh, dalam hadith yang sohih ini, nabi menyebut "akulah penutup sekalian nabi-nabi". Maka tiadalah wujud nabi-nabi atau rasul-rasul yang baru selepas nabi Muhammad (s.a.w). Kahar Ahmad Al-Kazzab? Ayah Pin Al-Kazzab? Ini semua adalah satu pembohongan dan fitnah yang besar yang berlaku pada akhir zaman ini yang sengaja dilakukan untuk memilih jalan simpang daripada ajaran nabi Muhammad (s.a.w). Bukan sahaja si nabi palsu tu yang 'bodoh', bahkan si pengikut pun 'bodoh sama', yang sengaja memilih jalan singkat nak ke syurga. (نعوذ بالله من ذالك)

Seterusnya, perjuangan nabi sebenarnya adalah berpaksikan aqidah yang benar dan inilah yang membuatkan keteguhan nabi dalam meneruskan dakwah Islamiyah terhadap umat manusia walaupun disogokkan dengan bermacam-macam perkara. Oleh kerana itu, 'Utbah ibn Walid, seorang ahli pembesar Quraish yang mencadangkan dirinya ketika 'persidangan parlimen Quraisy' sebagai pengantara ataupun orang tengah dalam rangka untuk berdamai dengan Rasulullah (s.a.w) pada ketika itu. Maka bertemulah mereka berdua dalam satu pertemuan di Ka'bah dan berkata 'Utbah kepada nabi (s.a.w): "Wahai saudaraku, seperti yang engkau tahu, engkau adalah seorang yang berkedudukan tinggi dalam masyarakat Quraisy tetapi engkau telah datangkan sesuatu yang sangat besar kepada mereka. Engkau juga telah memecah belahkan kehidupan mereka, dan engkau juga telah menghancurkan wawasan mereka serta memperbodohkan tuhan-tuhan mereka. Wahai saudaraku, dengarlah kepadaku, dan mungkin engkau akan mendengar sebahagian daripadaku ini". "Silakan", jawab nabi (s.a.w). "Jika engkau membawa ajaran Islam ini kerana harta, nescaya kami akan kumpulkan seluruh harta di kota ini dan serahkan kepada engkau. Jika engkau membawa ajaran Islam ini kerana mahukan kemuliaan, kami kan melantik kamu menjadi ketua kami. Dan jika kamu membawa Islam ini kerana mahukan kerajaan, kami sanggup memberi kamu kerajaan Mekah ini kepadamu...dengan syarat engkau mestilah tinggalkan ajaran yang engkau bawa ini. Maka nabi (s.a.w) membalas sogokan 'Utbah dengan membaca potongan ayat daripada surah Fussilat dari ayat 1-13 yang bermaksud:

Haa, Miim (1) Turunnya Kitab ini dari Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (2) Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya. (3) Dia membawa berita yang menggembirakan (bagi orang-orang yang beriman) dan membawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dalam pada itu kebanyakan mereka berpaling ingkar (tidak mahu mengetahui dan memahaminya), maka dengan sebab itu mereka tidak menerima dan tidak mematuhinya. (4) Dan mereka berkata: Hati kami dalam tutupan yang berlapis-lapis (menghalang kami) daripada memahami apa yang engkau serukan kami kepadanya dan pada telinga kami penyumbat (menjadikan kami tidak dapat mendengarnya), serta di antara kami denganmu ada sekatan (yang memisahkan fahaman kita); oleh itu, bekerjalah engkau (untuk agamamu), sesungguhnya kami juga tetap bekerja (untuk mempertahankan kepercayaan kami)! (5) Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu; diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang Satu; maka hendaklah kamu tetap teguh di atas jalan yang betul lurus (yang membawa kepada mencapai keredaanNya), serta pohonlah kepadaNya mengampuni (dosa-dosa kamu yang telah lalu) dan (ingatlah), kecelakaan besar bagi orang-orang yang mempersekutukanNya (dengan sesuatu yang lain), (6) Iaitu orang-orang yang tidak memberi zakat (untuk membersihkan jiwa dan hartabendanya) dan mereka pula kufur ingkar akan adanya hari akhirat. (7) Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, mereka beroleh balasan pahala yang tidak putus-putus. (8) Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya tidak patut kamu kufur kepada Tuhan yang menciptakan bumi dalam dua masa dan kamu adakan sekutu-sekutu bagiNya! Yang demikian (sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan sekalian alam, (9) Dan Dia menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya (tersergam tinggi) di atasnya, serta Dia melimpahkan berkat padanya dan Dia menentukan ada padaNya bahan-bahan keperluan hidup penduduknya, sekadar yang menyamai hajat yang diminta dan dikehendaki oleh keadaan mereka; (semuanya itu berlaku) dalam empat masa. (10) Kemudian Dia menunjukkan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi: Turutlah kamu berdua akan perintahKu, samada dengan sukarela atau dengan paksa! Keduanya menjawab: Kami berdua sedia menurut patuh dengan sukarela; (11) Lalu Dia menjadikannya tujuh langit, dalam dua masa dan Dia memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing-masing dan Kami hiasi langit yang dekat (pada pandangan mata penduduk bumi) dengan bintang-bintang yang bersinar cemerlang serta memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui. (12) Oleh itu, kalau mereka (yang musyrik) berpaling (daripada mengesakan Allah dan menurut jalan yang lurus), maka katakanlah (wahai Muhammad): Aku memberi amaran kepada kamu dengan (azab yang dahsyat, iaitu) petir, seperti petir yang telah menyambar kaum Aad dan kaum Thamud! (13)


Maka 'Utbah memberhentikan nabi, "cukup!" kemudian dia pulang bertemu pembesar-pembesar Quraisy. Ditanya 'Utbah mengenai perkembangan pertemuannya dengan nabi Muhammad (s.a.w), maka dia menjawab, "jangan kamu ganggu lagi Muhammad kerana ajaran baru yang dibawanya adalah benar belaka dan tidak pernah aku dengar sebelum-sebelum ini".

Maka wahai pendakwah sekalian, banyak pengajaran dakwah yang nabi tunjukkan kepada kita dalam pertemuan baginda (s.a.w) dengan 'Utbah ini. Marilah kita memperbetulkan niat kita dalam meneruskan tugas nabi ini semata-mata untuk Allah. Barulah i'tiqad kita menjadi satu pegangan yang teguh dan tidak rapuh apabila diancam dari segenap sudut.

Selain itu, antara peranan Rasulullah diutuskan kepada umat manusia adalah untuk menyampaikan ayat-ayat Allah serta menyucikan hati-hati manusia daripada kesesatan. Seperti firman Allah dalam surah al-Jum'ah ayat 4:-

هُوَ ٱلَّذِى بَعَثَ فِى ٱلۡأُمِّيِّـۧنَ رَسُولاً۬ مِّنۡہُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَكِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ۬ (٢)
Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. (2)


Oleh sebab yang demikian, sebagai khalifah yang wajib memikul amanah amar ma'ruf nahi mungkar ini mestilah disandarkannya atas dasar aqidah yang benar dan bukanlah perkara mudah untuk memikulnya demi melenyapkan kemungkaran di muka bumi ini. Kata Imam Ibnu Taimiyyah: "Hendaklah kamu takut musibah yang tidak hanya melanda ke atas orang yang berbuat maksiat sahaja", kerana musibah itu pasti akan dijatuhkan kepada mereka yang tidak berbuat maksiat dan juga kepada mereka yang tidak mengerjakan amar ma'ruf nahi munkar. Pernah ditanya kepada Saydina Umar al-Khattab (r.a): Adakah satu bandar yang makmur itu juga boleh binasa?, jawab Umar (r.a): "Ya! iaitu apabila sekiranya orang-orang jahat menguasai orang-orang baik".Jadi, keikhlasan dan keteguhan iman sangat ditekankan untuk menggalas amanah ini. Tidak hairanlah ramai dalam kalangan pendokong-pendokong dakwah pada hari terkandas dan menyeleweng daripada prinsip yang sebenar yang tidak mengikut manhaj nabi Muhammad (s.a.w) sepeti dalam ayat diatas.

Oleh itu, sama-samalah kitadzikir, fikir dan ikhtiar.









Bersama mengemudi Bahtera Tajdid!

Al-Ulama' Warathatul Anbiya'

Create your own video slideshow at animoto.com.

Create your own video slideshow at animoto.com.

Create your own video slideshow at animoto.com.