Monday, March 8, 2010

Antara Risikan dan Rintihan

          Tentu kita semua maklum dengan satu cerita kartun animasi yang saya kira cukup familiar pada hari ini iaitu Detektif Conan. Sebuah animasi yang berkisarkan kisah penyiasatan dan risikan yang hebat oleh seorang pemuda yang diberi nama Conan. Namun, Conan dalam usia remajanya telah bertukar menjadi seorang kanak-kanak kerana beberapa sebab yang telah berlaku. Walau bagaimanapun, kebijaksanaan dan kepintarannya tetap seperti keadaan asalnya. Dalam meniti kehidupannya sebagai seorang detektif cilik yang banyak menyelesaikan kes-kes jenayah, dia terpaksa mencari penawar ke atas dirinya untuk merubah semula keadaannya kepada bentuk asal. Dia juga terpaksa mengharungi berbagai-bagai misteri dan persoalan yang perlu dirungkaikan.

     Bercerita mengenai perisikan, saya berminat menulis tentang seorang wali Allah yang juga pada hemat saya tidak asing lagi yang disebut-sebut pada hari ini, iaitu Ibrahim bin Adham.

Nama penuh beliau ialah Abu Ishak Ibrahim bin Adham. Beliau berlatarbelakangkan keluarga bangsawan Arab yang mengikut sejarahnya disebutkan sebagai seorang raja yang meninggalkan kerajaannya. Sama juga seperti kisah Gautama Buddha yang turut meninggalkan kerajaannya. Beliau mengembara ke arah Barat untuk menjalani hidup bersendirian yang sempurna sambil mencari nafkah melalui kerja kasar yang halal sehinggalah beliau meninggal dunia dengan meninggalkan sebuah kerajaan yang kaya.

Mengaitkan dengan cerita Conan di atas, suka saya menceritakan kisah taubat Ibrahim Adham yang berkenaan dengan perisikan Tuhan yang sentiasa membelenggu beliau sehingga beliau meninggalkan kerajaannya yang mewah dan kaya raya.


Ibrahim bin Adham ialah seorang Raja Balkh yang mempunyai daerah kekuasaan yang luas. Ke mana-mana shaja beliau pergi, beliau akan diiringi 40 bilah pedang emas dan 40 tongkat kebesaran emas yang diusung di hadapan dan belakangnya.

Suatu hari ketika beliau tidur di bilik istananya, atap itu berderak-derik seakan-akan ada orang yang berada di atasnya. Ibrahim terjaga dan berseru, "siapakah itu?"
          "Sahabatmu. Untaku hilang dan aku sedang mencarinya di atas atap ini," terdengar satu sahutan. "Bodoh! engkau mencari unta di atas atap?"seru Ibrahim semula.
          "Wahai manusia yang lalai," suara itu menjawab, "Apakah engkau mencari Allah dengan berpakaian sutera dan tidur di atas katil emas?"

Beliau tidak dapat meneruskan tidurnya malam itu sebuk memikirkan kejadian aneh yang berlaku ke atasnya. Keesokannya, beliau duduk di singgahsananya sedang semua menteri berdiri di tempat masing-masing. Tiba-tiba, datang seorang lelaki yang mempunyai wajah yang menakutkan menghadap beliau.
          "Akhirnya, tiba juga aku di tempat persinggahan ini..."kata lelaki itu melepaskan lelah. Ibrahim yang mendengar kata-kata itu sangat berang kerana pemuda itu seakan-akan merendah-rendahkan singgahsananya yang mewah dibuat daripada emas itu. "Ini bukan tempat persinggahan para kafilah. Ini adalah istanaku! Tentu engkau sudah gila!"
          "Siapakah pemilik istana ini sebelum engkau?" tanya lelaki itu.
          "Ayahku!" jawab Ibrahim.
          "Dan sebelum ayahmu?"
          "Datukku!"
          "Sebelumnya?"
          "Ayah daripada datukku!"
          "Dan sebelum dia?"
          "Datuk daripada datukku!"
          "Ke manakah mereka sekarang ini?"
          "Mereka telah tiada . Mereka telah mati," jawab Ibrahim marah.
          "Hmm, kalau begitu, bukankah ini tempat persinggahan yang dimasuki seseorang dan ditinggalkan oleh yang lainnya?" Setelah berkata demikian, lelaki itu pun hilang. Sesungguhnya lelaki itu adalah nabi Khidir (a.s). Keresahan hati Ibrahim semakin menjadi-jadi akibat permulaan malam beliau diganggu itu dan ditambah lagi dengan peristiwa lelaki ini. "Apakah maksudnya semua ini?" bisik Ibrahim.

Pada suatu hari, Ibrahim meminta untuk dipersiapkan kudanya dan alatan memburunya kerana beliau ingin berburu. Ditakdirkan beliau terpisah daripada rombongannya. Tiba-tiba beliau mendengar satu seruan kepadanya. "Bangunlah!" Beliau cuba berpura-pura tidak mendengar akan seruan itu. Namun, untuk kali keduanya, suara itu berseru lagi kepadanya. beliau tetap tidak mempedulikannya. Beliau memacu kudanya semakin deras apabila mendengar seruan itu buat kali ke-3. Akhirnya, untuk kali ke-4, suara itu berseru, "Bangunlah sebelum engkau dipukul!"

Dalam masa yang sama, tali kudanya juga berseru kepadanya. Kemudian suara yang sama juga berseru daripada bajunya. Lantas beliau turun dari kudanya dan merintih, "Tuhan, apakah yang menghalang diriku ini? Apakah maksudnya semua ini?"   Habis basah bajunya kerana air matanya berderuan keluar takutkan Allah.


           Beliau pun terus meninggalkan tunggangannya dan berjalan di tengah-tengah padang pasir umpama seekor semut di tanah lapang. Sedang beliau berjalan meratapi dosa-dosanya yang lalu, beliau terserempak dengan hambanya yang sedang mengembala kambing-kambingnya. Beliau terus meminta menukar pakaiannya yang  bersalut emas, topinya yang bertatahkan batu-batu permata serta biri-biri miliknya dengan si pengembala tersebut. Ibrahim lalu memakaikan pakaian dan topi yang dibuat daripada bulu biri-biri milik hambanya itu. Sedang malaikat-malaikat menyaksikan peristiwa itu dengan penuh kekaguman.
      
             "Betapa megahnya kerajaan yang diterima putera Adam ini. Akhirnya, dia telah mencampakkan pakaian keduniaan yang kotor dan hina itu lalu menggantikan pula dengan jubah kepapaan dan kezuhudan itu dengan megah sekali."

Dengan berjalan kaki, Ibrahim bermusafir melalui gunung-ganang dan padang pasir yang luas sambil menyesali dosa-dosanya yang pernah dilakukannya. Bermula dari saat inilah, beliau meninggalkan kerajaannya dan bertumpu kepada Allah.

Inilah perisikan Allah terhadap hambanya, Ibrahim bin Adham yang akhirnya membawa beliau kepada mentaqarrubkan Allah dan mencintai Allah semata-mata sedangkan beliau mempunyai longgokan harta-harta kemewahan yang banyak. Marilah sama-sama kita mencari risikan daripada Allah ini untuk kita sentiasa mengingati Allah walaupun kita tidak mampu untuk hidup dengan meninggalkan dunia secara keseluruhannya.          

Al-Ulama' Warathatul Anbiya'

Create your own video slideshow at animoto.com.

Create your own video slideshow at animoto.com.

Create your own video slideshow at animoto.com.