Wednesday, March 31, 2010

Refleksi dalam Muhasabah

Ketika saya menghadiri satu kuliyyah hadis, yang menghuraikan hadis ke-24 dalam matan arbaien, saya tertarik apabila mendengar huraian daripada hadis tersebut yang ada menyebut mengenai suluk ila Allah.


Ya "Suluk ila Allah" yang bermaksud segala amalan dan ibadah yang dilakukan dengan harapan sampai kepada Allah. Inilah satu istilah tariqat yang digunakan untuk mencapai satu tahap tertinggi dalam perjalanannya iaitu 'menemui Allah'. Namun saya bukanlah mahu menyeru para pembaca sekalian untuk menyertai mana-mana kumpulan tariqat, tetapi saya ingin membuat satu refleksi terhadap diri kita yang sentiasa melupakan Allah dalam segala amalan kehidupan seharian kita.


Jika kita membahaskan tentang suluk ini, sudah tentu bagai langit dengan bumi untuk kita mencapai ke tahap ini. Mana tidaknya, kerana mereka yang mencapai tahap ini, dunia pun tidak mahu, syurga pun tidak berkehendak. Allah sahaja yang dihajati dan diingini. Demikian satu penegasan yang mudah untuk disebut tetapi sukar untuk disedari dan payah untuk diamalkan. Sebagai menjelaskan kenyataan ini, suka saya menyebut kata-kata seorang auliya', Abu Hassan Al Kharkhoni agar dapat membantu kefahaman kita:

"Aku berasa lebih senang bermalam di bawah pokok yang kering di dunia ini sambil mengenang Allah, daripada duduk di bawah pokok Syurga yang nyaman dan dapat apa-apa sahaja yang diminta tetapi lupa kepada Allah."


Jauhnya beza pandangan kita sebagai orang awam berbanding dengan wali Allah ini yang kita sering tilik pada kepentingan diri dan dunia yang sedikit ini. Jauh...jauh...dan teramat jauh sekali bezanya...

Sedarlah wahai diriku yang sering sombong. Berpalinglah kepada jalan-jalan yang berpetunjuk ini.


Begitu juga kata-kata daripada Imam Junaid: "Sesungguhnya ahli malam itu dengan malamnya adalah lebih lazat daripada ahli lalai dalam kelalaiannya". MasyaAllah Tabarakallah, inilah kata-kata daripada seorang yang sudah merasai kelazatan daripada ibadahnya sehingga hiburan, syahwat dan maksiat yang kita rasakan seronok dengannya dibuang dengan kelazatan ibadahnya yang melebihi daripada kelazatan daripada kelalaian tersebut.


Terlalu banyak kisah-kisah tauladan daripada kehidupan para anbiya', para auliya', para ulama', dan sebagainya untuk dihuraikan. Namun sejauh manakah kita mengambil pengajaran daripada kisah-kisah mereka? Kenapa kita masih lagi mengikut ajakan kotor daripada Syaitan Laknatullah 'alaih?


Dalam peperangan Ahzab, Syaitan yang merupakan 'master mind' dalam perancangan-perancangan penentangan Nabi Muhammad s.a.w. Tiba-tiba mereka lari bertempiaran meninggalkan kaum-kaum musyrik. Kaum-kaum musyrik pun berasa hairan mengapa mereka lari sedangkan merekalah yang beria-ia merancang segala perancangan peperangan ini. Maka Syaitan Laknatullah menyebut: Sesungguhnya aku nampak apa yang kamu tidak nampak. Pada hakikatnya memang sebebnarnya mereka sudah nampak bala Allah yang Allah turunkan untuk membantu kaum muslimin dalam peperangan terebut.


Inilah sifat Syaitan yang kita selalu ikutkan. Pada hari ini kita mempercayai mereka, sedangkan diakhirat nanti, kita pula yang akan menyesal. Sedangkan mereka berkata: "Bukankah dulu Allah telah memberi bermacam-macam petunjuk kebenaran? Mengapa kau masih mengikuti seruanku?"





Sekali lagi, di manakah tahap kita sebenarnya?

Al-Ulama' Warathatul Anbiya'

Create your own video slideshow at animoto.com.

Create your own video slideshow at animoto.com.

Create your own video slideshow at animoto.com.