Saturday, August 14, 2010

Puasa Memproses Taqwa : Siri Pertama

Alhamdulillah Rabbi al-'alamin...
Firman Allah dalam al-Quran :-

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

Alhamdulillah..
Allah masih lagi memberi kekuatan, keupayaan dan kemahuan untuk terus kita mengabdikan diri kepada Allah ta'ala, lagi-lagi pada bulan Ramadhan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini.

Entri terbaru ini saya ingin mengajak anda melihat beberapa perkara berkaitan dengan kelengkapan yang diperlukan oleh diri kita bagi memaksimumkan ruang yang ada pada bulan Ramadhan dengan mendekatkan diri kepada Allah swt. Ini kerana Ramadhan hanya datang setahun sekali. Oleh itu, perkara yang disebut sebagai tahunan ini perlu untuk diusahakan dengan sebaiknya dan kerana itu kita perlu saling mengingati dari masa ke masa.

Baik, apa yang saya ingin katakan di sini adalah apakah sebenarnya kehendak Allah daripada ayat yang difirmankan kepada kita di atas...
Untuk makluman, ayat ini diturunkan pada tahun ke-2 hijrah sebagai pensyariatan ibadah puasa ke atas nabi Muhammad saw, para sahabat dan seluruh umat Islam.


Sekadar renungan kita bersama, pada tahun 1961..
          Umat Islam di sebuah negara Afrika Utara iaitu di Tunisia telah digemparkan dengan satu polisi yang dikemukakan oleh presidennya pada masa itu, Habib Bourguiba, yang mana pada masa itu beliau telah membuat satu polisi terhadap negaranya dengan tidak membenarkan rakyat Islam di Tunisia berpuasa di bulan Ramadhan. Beliau memberi alasan, dengan berpuasa pada pandangan beliau, telah mengurangkan produktiviti negaranya. Sebagai penegasan kepada polisi yang dikemukakan beliau, beliau dan anggota kabinetnya telah muncul dalam telivisyen secara 'live' dan telah makan pada waktu tengah hari pada bulan Ramadhan untuk menunjukkan dia serius dengan apa yang dia perkatakan.

          Ini salah satu daripada sejarah bulan Ramadhan yang pernah telah ditempuh oleh umat Islam tidak lama dahulu iaitu pada tahun 1961.
         
          Mungkin bagi yang pertama kali mendengarnya, berasa marah dan terkejut. Mungkin juga kita perlu fikir dari sudut yang lain, mengapakah polisi itu timbul? Ada kemungkinan apa yang disebut Habib Bourguiba itu menunjukkan reaksinya terhadap apa yang dilakukan umat Islam sendiri yang menurunkan produktiviti mereka pada bulan Ramadhan.

          Manakan tidak, pada bulan Ramadhan, mereka sentiasa berasa mengantuk. Dari selepas sahurnya sehingga ke petang. Tambah lagi dengan masa bekerja dipendekkan satu ke dua jam. Ya, mungkin dari sudut kita di peringkat bawah tidak merasakan merosotnya proktiviti negara, tetapi mereka yang berada di peringkat kepimpinan, mereka nampak perubahan yang berlaku. Silapnya, bukan Habib Bourguiba kembali mentarbiyah umat Islam tetapi beliau mengubah Islam.

          Jadi, untuk kita menolak pandangan Habib Bourguiba ini, kita perlu bekerja seperti biasa pada bulan Ramadhan bahkan berusaha dengan lebih kuat lagi. Soalnya bagaimana? Bagaimanakah untuk kita menjadikan bulan Ramadhan ini sebagai bulan yang dapat menambah kepuasan yang ada pada diri kita? Bagaimanakah unutuk kita mendapatkan kepuasan dengan datangnya bulan Ramadhan?

          Oleh itu, sekadar perkongsian, proses untuk kita menadapatkan kepuasan daripada bulan Ramadhan ini harus bermula adalah dengan membetulkan cara kita melihat bulan Ramadhan. Ada orang melihat Ramadhan sebagai satu peluang untuk diet dan ada juga sebahagian yang lain melihat bulan ini sebagai bulan untuk meraih keuntungan daripada jualan-jualan di bazar atau sebagainya. Ya, tidak salah, tetapi jika itu yang menjadi pandangan kita, maka itu sahajalah yang kita akan dapat. Bagi orang yang melihat Ramadhan sebagai bulan untuk mendapatkan pahala, tidak salah kerana sememangnya Allah ta'ala pada bulan ini meluaskan peluang-peluang kepada umat Islam untuk mendapatkan pahalanya. Cuma masalahnya, jika kita menganggap bulan ini sekadar bulan mengejar pahala, masalahnya pahala itu kita tidak nampak. Realitinya, apabila sampai masa yang pahala itu banyak iaitu tentunya pada 10 malam terakhir Ramdhan, rasa-rasanya, 10 malam terakhir Ramdhan itulah masjid-masjid menjadi kembali lengang seperti keadaan asalnya. Akhirnya ramadhan kita menjadi seperti batang tebu. pangkalnya manis tetapi semakin hujung semakin kurang manisnya. Maknanya semakin hujung Ramadhan semakin kurang kita mengejar pahala.

          Jadi, jika sekiranya kita melihat Ramadhan seperti pandangan-pandangan di atas, mungkin kesemuanya itu tidak cukup untuk mengekalkan diri kita dalam landasan istiqamah dan kita tidak mendapat kepuasan yang kita mahu daripada bulan Ramadhan. Maka apakah sebenarnya yang Allah ta'ala kehendaki daripada bulan Ramadhan ini?

          Dengan ini, saya mengajak anda melihat kembali ayat 183 surah al-Baqarah di atas. Dalam ayat ini Allah ta'ala memasukkan 3 unsur penting yang secara mudahnya saya istilahkan sebagai 'input', 'proses' dan 'output'.

Bahagian yang pertama : INPUT
          Inilah asas atau intipati mengapa kita berpuasa. Semasa Allah mewajibkan puasa ke atas kita, Allah memanggil kita dengan istilah iman. Dengan firman Allah "wahai orang-orang yang beriman.....". Maknanya asas puasa kita adalah kepada persoalan iman. Kita berpuasa bukan untuk menguruskan badan. Itu adalah faedah puasa. Kita puasa bukan untuk menambah keuntungan perniagaan. Itu faedah kemakmuran Ramadhan. Kita berpuasa bukan sekadar pahala. Itu adalah ganjaran yang Allah berikan. Tetapi asasnya adalah kerana tunduknya kita kepada Allah ta'ala.

Bahagian yang kedua : PROSES
          Jika seseorang tiada makanan dan dia berpuasa. Kemungkinan puasa itu tidak menjadi tarbiyah ke atas dirinya. Tetapi sekiranya kita ada makanan dan kita memilih untuk tidak makan, kerana mengakui suruhan Allah swt, maka barulah puasa itu menjadi satu proses. Maka inilah maksud yang Allah ingin sebut dalam ayatnya, "wahai orang-orang beriman, maka wajiblah ke atas kamu 'untuk memproses iman kamu' seperti mana kaum sebelum kamu....."

Bahagian yang ketiga : OUTPUT
          Apabila ibadah puasa ini memproses iman kita, apa yang Allah ta'ala mahukan? Allah sebut ".....moga-moga kamu bertaqwa". Supaya dengan ibadah puasa ini, kita menjadi seorang yang bertaqwa. Dalam erti kata yang lain, puasa kita, ibadah kita, tarawih kita, qiyamullail kita, pergi membeli belah di bazar dan sebagainya, semuanya adalah merupakan proses unutk menghasilkan apa yang diistilahkan sebagai taqwa. Maknanya Allah ta'ala mahu kita menjadi seorang yang bertaqwa hasil daripada proses dalam bulan Ramadhan.

Al-Ulama' Warathatul Anbiya'

Create your own video slideshow at animoto.com.

Create your own video slideshow at animoto.com.

Create your own video slideshow at animoto.com.