Monday, April 5, 2010

Melayu yang Boleh Mengampunkan Dosa?

Assalamualaikum w.b.t.


Jumaat sudah, saya berasa sangat puas selepas pulangnya menunaikan solat fardhu Jumaat. Manakan tidak selesai sudah melaksanakan kefardhuan ke atas semua muslimin. Tambahan pula, khutbah yang disampaikan khatib sungguh tepat dan kena pada masanya sesuai dengan masalah umat yang berlaku pada hari ini. Sedikit daripada isi khutbah yang saya ingin kongsikan bersama para pembaca di sini, yang saya kira cukup sesuai diletakkan tajuk seperti yang tertulis di atas (walaupun khutbah sebenar tiada tajuk yang khusus).


Firman Allah swt:-
"Sesungguhnya perkataan orang mu'min apabila Allah swt serta rasulnya Muhammad saw meletakkan sesuatu ketetapan, maka selayaknya dia (orang-orang mu'min) mengucapkan 'kami dengar dan kami patuh' dan mereka itulah orang-orang yang berjaya."

Firman Allah swt dalam ayat yang lain, mafhumnya:-
"Dan tidak selayaknya bagi orang-orang beriman lelaki dan perempuan, apabila Allah swt dan Rasulnya saw mewajibkan sesuatu perkara, ada perkara yang lain yang menjadi pilihannya. Barang siapa yang mengingkari Allah dan Rasulnya, maka sesungguhnya dia disesatkan dalam kesesatan yang nyata."

Muslimin yang dirahmati Allah,

Pada hari ini kita melihat dalam masyarakat kita terutama orang melayu Islam, sebahagiannya yang memperjuangkan semangat yang berbentuk perkauman ini secara melampau-lampau. 'Hidup melayu! Hidup melayu!' Slogan perjuangan ini telah menjadi satu perjuangan kebangsaan yang melampau-lampau dan lebih daripada batasan. Mereka menenggelamkan perjuangan yang dituntut Allah swt dan Rasulnya saw untuk melihat hanyasanya Islam ini cantik, supaya Islam ini dijunjung tinggi, supaya Islam ini menjadi anutan manusia yang mencari keredhaan Allah swt. Oleh itu, jadilah kita sebahagian manusia yang sudahlah tidak mahu menegakkan Islam, bahkan menghina agama dengan memilih jalan lain selain daripadanya.
Saya bukan mahu berbicara berkenaan politik. Walaupun isu yang saya karang ini berkait rapat dengannya. Tetapi kita mestilah buka minda kita supaya dapat menganalisis sesuatu pemikiran itu berdasarkan landasan agama dan rasionalnya. Tidak kiralah apa pun lambang kita, apa pun parti kita, bahkan apa pun aliran pemikiran politik kita, itu semua tidak menjadi isu, asalkan Islam yang kita ambil itu Islam yang satu iaitu satu-satunya jalan Allah swtdan Rasul saw, dan tiada baginya jalan yang lain. Seperi ayat al-Quran yang kita baca setiap hari:

Firman Allah dalam Surah Al-Fatihah:-
"Tunjukilah kami jalan yang lurus"

Mari kita lihat pada hari ini, apabila kemelayuan itu terlalu menebal dalam masyarakat kita, sehinggakan mereka tidak lagi melihat kepada kepentingan agama, maka kita dapat lihat Melayu itu dijunjung tinggi sedangkan Allah dan Rasulnya diletakkan di bawah tapak kaki. Bahkan hari ini kita sebagai masyarakat, baru sedar, rupa-rupanya ada satu peruntukan terhadap pesalah-pesalah syari'ah untuk diampunkan oleh sultan.


Cuba kita bayangkan, perkara syari'ah. Sebut tentang syari'ah, syari'ah ini milik siapa? Mana datangnya syari'ah ini? Kita tanya kepada diri kita balik. Apa itu syari'ah? Untuk memudahkan kefahaman kita, cukup kita tahu, syari'ah sesuatu hukum yang datang daripada Allah dan Rasul-Nya. Cukup untuk kita faham secara mudah! Dan apabila berlaku kesalahan dalam kesalahan syari'ah, maka seseorang pesalah itu juga hendaklah dihukum melalui kaedah syari'ah. Hukum syari'ah dihukum juga dengan hukuman syari'ah. Bukan sultan dan bukan raja. Ini perkara yang kita mesti faham.

Maka daripada itu, akan kita dengar kata-kata ini:-
          "Kita mesti taat kepada sultan....!!!"
          "Kita mesti melindungi titah dan perintah raja....!!!"
          "Kita mesti tunduk kuasa sultan....!!!"


Tetapi, perintah Allah ta'ala mana letaknya? Mana diamnya titah dan perintah Allah? Dalam poket kita? Dalam kasut kita? Dalam perut kita? Mana letaknya Allah? Raja itu mati juga seperti kita, dia pun makan minum juga seperti kita, tidur bangun juga pun sama juga seperi kita. Oleh itu, mengapa kita terlalu mengagungkan titah dan perintah raja atau sultan sehingga kita abaikan titah perintah serta larangan Allah swt dan Rasulnya. Ya, memang kita perlu taat perintah raja, tetapi bukan dalam mentaati urusan yang mengingkari Allah. Dalam mentaati raja dan sultan juga ada batasnya, tetapi tidaklah sehingga bercanggah dengan tuntutan Allah dan Rasul-Nya.


Janganlah kita menjadi manusia yang dayus dan penakut, sehingga takut untuk menegakkan kebenaran. Biarlah kita dihina oleh manusia dengan menegakkan kebenaran agama Islam yang sudah tentu disayangi dan dicintai Allah dan Rasul-Nya. Tetapi, jika kita mematuhi manusia, walaupun dipandang baik dan disanjung tinggi, belum tentu kita mendapat keredhaan Allah swt dan Rasul-Nya saw. Dalam hal ini, kita menurut perintah raja, kita dimuliakan manusia tetapi belum tentu mendapat kemuliaan daripada Allah dan rasul-Nya. Tetapi jika kita menurut perintah Allah, kita dimuliakan Allah swt, para malaikat, nabi-nabi, makhluk-makhluk Allah yang tidak seperti manusia bahkan manusia-manusia yang baik dan soleh.


Mana letaknya perjuangan Melayu di sini? Adakah dengan terlalu memperjuangkan melayu itu mendapat kemuliaan Allah sedangkan perkara yang dituntut Allah sendiri kita abaikan? Tidak hairanlah apabila ada dalam kalangan orang-orang alim yang mengatakan perjuangan Melayu kadang-kadang jika tersilap jalan penghujungnya sesat. Sesat! Inilah ruginya. Mana perginya Allah dalam perjuangan Melayu? Mana diletakkan Allah sedangkan Allah beri kita segala-galanya. Tiba-tiba hukum-Nya ditolak tepi. Inikah Melayu? Jika begini, mana kemuliaan Melayu? Mana kemuliaan manusia? Bukan setakat Melayu sahaja, apa-apa bangsa sekalipun kemuliaannya adalah terletak kepada Islam.


Kalau kita sekadar Melayu, Melayu kita tidak selamat! Kalau kita sebenar-benar Islam yang mematuhi perintah Allah swt dan Rasul saw, kita dijanji selamat oleh Allah swt dan Rasul saw.
Satu ketika dahulu, berlaku satu peristiwa seorang sahabat yang bernama Usamah bin Zaid ra. Usamah bin Zaid adalah salah seorang sahabat yang dia dan bapanya diberi gelaran "hibbu Rasulillah" saw. Iaitu kekasih Rasulullah. Dalam peristiwanya, seorang perempuan janda yang mempunyai anak telah melakukan kes jenayah syari'ah iaitu mencuri. Dia telah ditetapkan oleh Rasulullah saw hukuman potong tangan. Maka datang beberapa sahabat berjumpa Usamah. "Wahai Usamah, kau adalah kekasih Rasullullah. Pergilah berbincang dengan Rasulullah saw, minta budi bicara baginda supaya baginda ringankan hukuman ini terhadap wanita tersebut. Kasihanilah perempuan itu. Sudahlah janda, ada anak lagi". Usamah bin Zaid teragak-agak kerana dia tahu ini adalah keputusan syari'ah. Keputusan Rasulullah saw yang datang daripada Allah swt. Maka pergilah Usamah dalam keadaan teragak-agak berjumpa nabi saw dengan matlamat hendak meringankan hukuman ke atas perempuan itu. Apa kata Rasulullah saw; "Hei Usamah! Tidakkah kau rasakan syafa'at dalam ketentuan hukum Allah?!" kuat suara nabi saw. Akhirnya, hukuman ke atas wanita itu tetap dilakukan sehingga ternyata wanita itu menjadi seorang wanita yang solehah.

Daripada kisah Usamah ini, walaupun nabi Muhammad seorang yang sangat lemah lembut, tetapi dalam hukum syari'ah untuk dilonggarkan, 'no way!'. Tiada kompromi. Maka terlaksana juga hukuman potong tangan tersebut ke atas wanita tersebut.


Jelas di sini, syari'ah adalah syari'ah. Sivil adalah sivil. Hukum Allah adalah hukum Allah, dan manusia tidak boleh dan tidak berhak untuk berkuasa merubah hukum dan ketetapan Allah itu mengikut  kepala otaknya sendiri. Tidak boleh sama sekali! Kalau tidak tahu mengenai hukun tuhan, pergi mengaji hukum hakam. Jika tidak mahu juga, maka jangan kita 'complain' hukum Allah. Boleh jadi gugur syahadah orang yang mempertikai ketetapan daripada Allah. Bahkan tertulis terang-seterangnya berkenaan hukum ini di dalam al-quran, tetapi tetap buat tidak endah dengan ayat Allah tersebut.


Inilah yang berlaku pada hari ini dalam isu Kartika, penantian hukuman syari'ah untuk dilaksanakan di negara kita ini berubah menjadi satu hukuman yang baru dalam agama. Melayu boleh meringankan hukuman syri'ah. Sudahlah hukuman syari'ah itu dikurangkan jumlah sebatannya, apabila hendak dilaksanakan hukuman tersebut, tiba-tiba, "tidak  mengapa, Kartika boleh diringankan hukumannya. Dia perlu melaksanakan khidmat komuniti selama sebulan". Ewah-ewah! Hebat Melayu ya.


Sama-samalah kita berfikir, patutkah perkara ini berlaku dalam hukum hakam Allah di negara kita? Jadi, saya mengharapkan perkara yang ingin saya sampaikan ini sampai pada tahap kefahaman kepada para pembaca. Saya cuma insan yang lemah dan tidak mampu menyampaikan kefahaman yang sempurna kepada para pembaca. Segala yang baik itu datangnya daripada Allah, dan yang kurang itu atas kelemahan dan kekurangan diri saya.

Wallahuta'ala A'lam

Al-Ulama' Warathatul Anbiya'

Create your own video slideshow at animoto.com.

Create your own video slideshow at animoto.com.

Create your own video slideshow at animoto.com.